Container Icon

ISLAMISASI ILMU

Sejak daripada zaman saya di universiti, saya sering mempunyai pandangan yang agak sinis terhadap islamisasi Ilmu. Ternyata pada hari ini, kesan negatif mula nampak sedikit demi sedikit.  Dalam bahasa yang lebih mudah, islamisasi ilmu berlaku dengan mengintegrasikan ilmu agama dan bukan agama. Pendekatan ini dilakukan dengan harapan untuk menghasilkan para profesional yang bukan saja mahir dalam bidang masing-masing tetapi menguasai ilmu agama. Namun begitu, ilmu Islam sebenarnya bukan berkisar kepada ilmu akidah, syariah dan akhlaq semata-mata, bahkan turut merangkumi  semua ilmu-ilmu yang diistilahkan oleh sekularis sebagai ilmu dunia. Contohnya, kita tidak boleh mengatakan ilmu Islam dinilai tambah dengan ilmu arkitek Barat dianggap sebagai seorang arkitek Islam. Begitu juga seorang yang menggabungkan ekonomi Barat dan Shariah Islam digelar sebagai ahli ekonomi Islam.

Persoalan yang timbul hari ini, kenapa graduan yang dilahirkan dari system islamisasi ilmu tidak dapat mencernakan ilmu yang dipelajari dengan konsep holistik ilmu Islam?  Contohnya, peguam yang mempunyai ijazah Syariah dan undang-undang sivil, kelihatan sangat mahir dalam bidang perundangan tetapi masih tidak dapat mencernakan kesyumulan Islam dalam keseluruhan cara hidupnya terutama dari aspek iman dan akhlaq?.

Pengalaman saya sendiri semasa di universiti dahulu, saya dapati pelajar agama yang dihasilkan berbeza-beza mengikut pendekatan universiti masing-masing. Maafkan saya sekiranya pandangan tidak dipersetujui ramai.
Pelajar UM biasanya lebih mahir dan mendalam dalam ilmu-ilmu asas Islam (Islamic fundamental). Mereka terdedah dari awal dengan falsafah ilmu. Dididik agar sentiasa terdedah dengan pelbagai aliran pemikiran dan buku rujukan utama setiap ilmu, namun mereka menghadapi masalah bahasa, ketrampilan dan adaptasi kontemporari. Lebih ‘asyik’ dengan dunia akademik yang tersendiri.
Pelajar UIA pula lebih berktrampilan dan fasih mult-bahasa namun mereka menghadapi masalah dengan dasar dan asas ilmu. Ini kerana mereka terdedah dengan konsep islamisasi ilmu. Lebih banyak belajar teknik, kesan dan proses ilmu tanpa terdedah kepada falsafah ilmu itu sendiri.
 Hasil daripada canaian yang berbeza, kekosongan ilmu Islam wujud dalam kedua-dua system. Kegagalan ini wujud kerana kegagalan kita sendiri untuk menterjemahkan konsep ilmu Islam dalam dunia semasa setelah sebati dengan sekularisasi system Islam. Mungkin pada awalnya dicipta dua aliran ini untuk memenuhi keperluan semasa dan akan ada pembaharuan yang lebih baik. Namun perubahannya tidak ketara atau perubahan yang besar dapat dilihat.

Berkaitan dengan perkara ini saya sering memberi komen terhadap pelajar-pelajar saya. Contohnya saya sering memberitahu pelajar arkitek saya bahawa hari ini arkitek Islam telah dikuburkan. Mereka belajar bidang arkitek tanpa merujuk kepada konsep arkitek dalam al-Quran dan al-Hadis. Mereka tidak memahami unsur akidah, hukum-hukum  feqah berkaitan dan persoalan akhlaq yang sepatutnya terbit dalam tindakan, gerakkerja dan rekaan. Malah pada hari ini, disiplin ilmu arkitek Islam tidak dikembangkan. Apa yang berlaku hanyalah integrasi ilmu arkitek Barat dan ilmu Islam. Untuk memahami perkara ini juga, mereka juga sepatutnya pada permulaan pengajian hendaklah didedahkan dengan asas-asas dan teori-teori yang mendasari falsafah arkitek Barat dan membuat perbandingan dengan asas-asas dan teori-teori yang mendasari falsafah arkitek Islam. Lebih utama memahami falsafah Islam terlebih dahulu sebagaimana tokoh-tokoh Islam yang menjadikan Islam sebagai teras dalam melihat dan memahami tamadun Yunani.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 comments:

Post a Comment