Container Icon

Manusia Mahasiswa

Teringat satu ketika dahulu, semasa di tingkatan 5. Pernah seorang ustaz- Ustaz Wan Adli-  memberi nasihat kepada kami tentang kategori pelajar di universiti. Sehingga hari ini, nasihat tersebut menjadi panduan yang sungguh berguna dalam hidup. Berdasarkan nasihat tersebut, saya menjadi seorang yang lebih bersedia melangkah ke alam universiti dan membantu saya membina karakter akademik yang ada pada diri saya hari ini.

Katanya:
...... Kamu semua ingat apabila menjejakkan kaki ke universiti, ada beberapa kategori manusia yang kamu akan jumpa.

SATU: kaki buku. kaki buku ni ada dua jenis. satu jenis yang sangat suka membaca buku tetapi bukunya hanya terhad sekitar buku pelajaran dan sangat exam-oriented. Jenis yang lain pula ialah yang suka membaca buku tetapi tidak ada batasan. Mereka ini tidak suka menumpu kepada satu-satu subjek tetapi akan mengkaji dan menelaah mengikut minat masing-masing. Kategori ini biasanya agak tertutup pemikirannya terutama jenis pertama. Bukannya bermakna mereka tidak cerdik. Mereka sangat cerdik tetapi sangat bookish. Biasanya tidak tahu bergaul dan tidak terdedah kepada kemahiran untuk hidup. Perbezaan antara jenis pertama dan kedua. Jenis kedua lebih matang dan flexible manakala jenis kedua biasanya kurang kreatif dan sukar untuk adapt dengan suasana sekeliling.

DUA: kaki persatuan. Ini kategori pelajar yang sangat minat dalam bidang kepimpinan. Mereka ini orang yang terdedah kepada dunia organisasi, mempunyai kemahiran komunikasi yang sangat baik dan tahap self-esteem yang tinggi. Cuma kadang-kadang mereka ni terlampau seronok berpersatuan sehinggakan kadang-kadang pelajaran terabai.

TIGA: kaki bisnes. Ini golongan yang bijak mengambil peluang. Majoriti belajar hanya untuk ilmu bukan kerana sijil. Biasanya mereka sangat suka kepada perkara yang boleh menghasilkan DUIT dan kebanyakan daripada mereka lebih matang daripada kategori lain

EMPAT: kaki hobi atau saya suka panggil kaki huha huha. Ini kategori yang paling ramai. mereka terdiri daripada pelbagai kumpulan yang mempunyai gaya dan budaya belajar yang tersendiri. Kumpulan ini paling mudah dipengaruhi samaada pengaruh negatif atau positif. Mereka membentuk kumpulan masing-masing samaada kumpulan lepak, kumpulan band, kumpulan yang games addicted, kaki melaram, kaki makan, kaki bual dll. Kumpulan ini perlu berhati-hati kerana kalau tidak kena gaya, akan hanyut dalam dunia yang tidak berfaedah. Akhirnya pelajaran ke mana, ilmu ke mana, hidup ke mana... 

Agak-agaknyalah kategori mana yang akan menjadi manusia yang paling cemerlang...
Semuanya terpulang kepada bagaimana setiap pelajar mengenal potensi dalam setiap kategori danmenterjemahkan dalam kehidupan realiti. Bagi saya sendiri, saya tidak suka untuk terikat dalam mana-mana kategori. Saya bermula dengan kategori  SATU jenis kedua, diadunkan sedikit dengan kategori DUA dan semasa mula menginjak ke tahun-tahun akhir pengajian, saya mula berjinak-jinak dengan kategori KETIGA. Tapi sehingga hari ini kategori SATU jenis kedua yang paling dominan.

Saya berpandangan untuk berjaya di dunia dan akhirat, mesti bijak mengadunkan karakter manusia yang kita impikan berdasarkan kelebihan yang ada pada kesemua kategori. Minda yang bebas harus bijak menentukan perjalanan hidup sendiri. Bukankah Allah juga menegaskan perkara demikian di dalam al-Quran. Sesuatu kaum hanya akan berubah atas usahanya. Kita adalah apa yang kita fikirkan.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

doa munajat

doa ini saya gunakan ketika solat tasbih. boleh dikongsi untuk semua orang.


Doa – Ustazah Asmak Husin ( Solat Tasbih Pada 3.8.2012 – Jumaat)

Ya Allah Ya tuhan kami.

Pada Kesempatan hidup yang  kau berikan, kami memohon rahmatmu. Ya Allah
Ya Allah kami mohon keampunan darimu….

Ampunkanlah dosa-dosa kami, ibubapa kami,, guru-guru kami, jiran-jiran kami, muslimin & muslimat sama ada yang hidup atau yang mati.

Ya Allah, pada peluang hidup yang masih engkau berikan, pimpinlah kami dan hidayahkanlah ke jalan mu yang lurus.

Ya Allah, jika ada dikalangan kami orang yang sakit, sembuhkanlah mereka Ya Allah. …… jika ada dikalangan kami orang yang bersedih hati, berikan ketenangan dan jalan keluar bagi  permasalahan mereka….

… jika ada dikalangan kami orang yang menderhaki pada mu, isteri yang menderhaka pada suaminya , anak yang menderhaka pada ibu & ayahnya, ampunkan mereka dan bimbinglah mereka.

Ya Allah Ya Tuhan kami, susah kami bantulah  Ya Allah………
Beban kami ringankanlah Ya Allah

Ya Allah Tuhan kami, lemah kami  kuatkanlah Ya Allah,
Cita-cita kami sampaikan Ya Allah, Aib kami tutuplah Ya Allah,
Kelemahan kami perbaikilah Ya Allah, Hajat kami kabulkan Ya Allah,

Ya Allah, Ya tuhan kami, keluarga  kami bahagiakan Ya Allah , isteri kami solehahkan Ya Allah, suami kami solehkan Ya Allah, Anak kami, soleh & solehahkan Ya Allah,  Jika ada dikalangan mereka yang keras hatinya, lembutkanlah, Ya Allah.

Jika ada dikalangan mereka  belum mendapat kesempurnaan hidayahmu, hidayahkanlah, Ya Allah.

Ya Allah Ya Tuhan kami…
Kuatkanlah iman kami, seperti yang engkau kurniakan  pada nabimu Ibrahim a.s.

… berikan ketabahan kepada kami seperti engkau kurniakan kepada  Nabimu Ayob a.s.
….luaskan rezeki kepada kami seperti Nabi Sulaiman a.s
… Berikan kami akhlak & adab yang mulia lagi sempurna….. seperti Nabi Muhammad S.A.W

Ya Allah Ya Tuhan kami,

Sesungguhnya engkau tahu pada hari ini dengan rendah hati,  hati-hati kami telah berhimpun demi kasih sayangmu bertemu atas dasar mentaatimu, kami juga berhimpun untuk menegakkan syariatmu Ya Allah.

Oleh itu ya Allah, kukuhkanlah rabitah ini, mantapkanlah  ukhuwah ini, tempatkanlah rantaian hati kami, kekalkanlah kasih sayang kami, hidayahkanlah kepada kami lorong-lorong keimanan.  Penuhkanlah lohong-lohong hati dan akal kami dengan nur mu yang tidak pernah malap Ya Allah…. 

Y Allah Ya Tuhan kami,

Ampunkanlah dosa-dosa kami, kebodohan kami, kedangkalan akal kami, dengan lafaz  lailahaillah, ampunkan dosa-dosa kami di malam hari dan siang hari, ampunkanlah dosa-dosa kami pada hari ini, semalam dan esok hari.

Ya Allah ya tuhan kami,

Terimalah taubat kami yang hina ini, Di malam hari kami beribadat kepadamu, tapi di siang hari kami bersandiwara, bergelak ketawa atas nama mu Ya Allah,

Astaghfirullahalazim…..

Ya Allah terimalah solat kami,  jasad kami bersolat kepada mu tapi hati dan akal kami melacurkan hak mu Ya Allah.

Astaghfirullahalazim ……..

Ya Allah, lidah kami mengaku, kami bekerja demi jalanmu Ya Allah, tapi hakikatnya jiwa, nafas dan perut kami mengharapkan balasan keduniaan ……

Astaghfirullahalazim…..

Ya Allah Ya tuhan kami,

Dengan kekuatanmu….. kami mohon kemantapan iman, kecerdasan akal, kecerahan hati, kekuatan jiwa, kepantasan tindakan…… semuanya demi perjuanganmu Ya Allah.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

ISLAMISASI ILMU

Sejak daripada zaman saya di universiti, saya sering mempunyai pandangan yang agak sinis terhadap islamisasi Ilmu. Ternyata pada hari ini, kesan negatif mula nampak sedikit demi sedikit.  Dalam bahasa yang lebih mudah, islamisasi ilmu berlaku dengan mengintegrasikan ilmu agama dan bukan agama. Pendekatan ini dilakukan dengan harapan untuk menghasilkan para profesional yang bukan saja mahir dalam bidang masing-masing tetapi menguasai ilmu agama. Namun begitu, ilmu Islam sebenarnya bukan berkisar kepada ilmu akidah, syariah dan akhlaq semata-mata, bahkan turut merangkumi  semua ilmu-ilmu yang diistilahkan oleh sekularis sebagai ilmu dunia. Contohnya, kita tidak boleh mengatakan ilmu Islam dinilai tambah dengan ilmu arkitek Barat dianggap sebagai seorang arkitek Islam. Begitu juga seorang yang menggabungkan ekonomi Barat dan Shariah Islam digelar sebagai ahli ekonomi Islam.

Persoalan yang timbul hari ini, kenapa graduan yang dilahirkan dari system islamisasi ilmu tidak dapat mencernakan ilmu yang dipelajari dengan konsep holistik ilmu Islam?  Contohnya, peguam yang mempunyai ijazah Syariah dan undang-undang sivil, kelihatan sangat mahir dalam bidang perundangan tetapi masih tidak dapat mencernakan kesyumulan Islam dalam keseluruhan cara hidupnya terutama dari aspek iman dan akhlaq?.

Pengalaman saya sendiri semasa di universiti dahulu, saya dapati pelajar agama yang dihasilkan berbeza-beza mengikut pendekatan universiti masing-masing. Maafkan saya sekiranya pandangan tidak dipersetujui ramai.
Pelajar UM biasanya lebih mahir dan mendalam dalam ilmu-ilmu asas Islam (Islamic fundamental). Mereka terdedah dari awal dengan falsafah ilmu. Dididik agar sentiasa terdedah dengan pelbagai aliran pemikiran dan buku rujukan utama setiap ilmu, namun mereka menghadapi masalah bahasa, ketrampilan dan adaptasi kontemporari. Lebih ‘asyik’ dengan dunia akademik yang tersendiri.
Pelajar UIA pula lebih berktrampilan dan fasih mult-bahasa namun mereka menghadapi masalah dengan dasar dan asas ilmu. Ini kerana mereka terdedah dengan konsep islamisasi ilmu. Lebih banyak belajar teknik, kesan dan proses ilmu tanpa terdedah kepada falsafah ilmu itu sendiri.
 Hasil daripada canaian yang berbeza, kekosongan ilmu Islam wujud dalam kedua-dua system. Kegagalan ini wujud kerana kegagalan kita sendiri untuk menterjemahkan konsep ilmu Islam dalam dunia semasa setelah sebati dengan sekularisasi system Islam. Mungkin pada awalnya dicipta dua aliran ini untuk memenuhi keperluan semasa dan akan ada pembaharuan yang lebih baik. Namun perubahannya tidak ketara atau perubahan yang besar dapat dilihat.

Berkaitan dengan perkara ini saya sering memberi komen terhadap pelajar-pelajar saya. Contohnya saya sering memberitahu pelajar arkitek saya bahawa hari ini arkitek Islam telah dikuburkan. Mereka belajar bidang arkitek tanpa merujuk kepada konsep arkitek dalam al-Quran dan al-Hadis. Mereka tidak memahami unsur akidah, hukum-hukum  feqah berkaitan dan persoalan akhlaq yang sepatutnya terbit dalam tindakan, gerakkerja dan rekaan. Malah pada hari ini, disiplin ilmu arkitek Islam tidak dikembangkan. Apa yang berlaku hanyalah integrasi ilmu arkitek Barat dan ilmu Islam. Untuk memahami perkara ini juga, mereka juga sepatutnya pada permulaan pengajian hendaklah didedahkan dengan asas-asas dan teori-teori yang mendasari falsafah arkitek Barat dan membuat perbandingan dengan asas-asas dan teori-teori yang mendasari falsafah arkitek Islam. Lebih utama memahami falsafah Islam terlebih dahulu sebagaimana tokoh-tokoh Islam yang menjadikan Islam sebagai teras dalam melihat dan memahami tamadun Yunani.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Selayang Pandang Dari Ikim, International Conference Re-Orienting The Muslim Mind: Charting the Future.

SEKULARISME PEMBUNUH SENYAP Secularisme adalah ideology yang telah menjadi pembunuh senyap pemikiran umat Islam pada hari ini. Di Malaysia, sekularisme telah menjadi darah daging dalam keseluruhan system pemerintahan dan pentadbiran negara. Kehadiran British ke Tanah Melayu adalah sebahagian daripada perancangan Barat untuk menjajah keseluruhan empayar Islam yang berpusat di Empayar Uthmaniyyah di Turki. Sekularisme diperkenalkan dengan mengasingkan agama daripada keseluruhan system pentadbiran yang lain. Definisi agama telah disempitkan kepada urusan personal melibatkan ibadat khusus Islam sahaja. Kesannya system ekonomi, politik dan social telah diperkenalkan ke seluruh dunia Islam. Sejak daripada itu, dunia Islam seolah-olah telah kehilangan formula bagaimana untuk mengintegrasikan antara system Barat yang telah disekularkan dengan prinsip Islam secara praktikal sesuai dengan pendekatan semasa. Sebagai contoh pada hari ini, banyak pihak berbicara tentang konsep negara Islam. Secara teorinya, ia ungkapan utopian yang menjadi cita-cita semua jiwa yang cintakan Islam. Tetapi pada hakikatnya, secara praktikal, umat Islam tidak dapat menyediakan satu formula atau struktur pentadbiran dan pemerintahan negara Islam yang berasaskan hakikat siasah Islam yang sebenar. Adakah sebuah negara Islam sudah tercapai melalui kemenangan parti pro-Islam semata-mata? Setelah kemenangan, bagaimanakah seharusnya konsep siyasah syari’yyah harus diterjemahkan secara berstruktur ke dalam system pentadbiran negara tersebut? Bagaimakah bentuk interpretasi pemerintahan Rasulullah SAW dan era Madinah pada hari ini? Adakah sesebuah negara tersebut dikira Islam sekiranya masih mengamalkan system politik, ekonomi dan social acuan sekularisme Barat? Soalan-soalan tersebut memerlukan pengkajian mendalam terhadap ilmu-ilmu Islam yang telah dikuburkan oleh system sekularisme Barat. Oleh itu seharusnya kemenangan politik Islam harus diikuti dengan system dan acuan pemerintahan Islam hakiki dengan bantuan semua pihak. Para pembuat polisi, perangka system, penyelidik, pendidik, ekonomis, politikus dll harus bersedia dengan formula untuk mengisi vacuum yang telah lama diisi dengan system sekularisme.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Catatan Dari Iran Sepanjang berada di sana, pelbagai perkara menarik yang saya temui:

1. Iran mengalami 4 musim serentak. Masih segar di ingatan, setiap pagi ketika menikmati sarapan di hotel espinaj,Tehran, saya sangat suka duduk di sudut berhampiran dengan dinding cermin menghala ke bangunan dan jalan raya bersebelahan hotel. Saya sgt suka berada di situ memerhatikan suasana pagi di Tehran. Masih segar diingatan bahang matahari terkena muka dan saya sungguh gembira kerana walaupun begitu cuaca masih terasa sejuk. Nun di hujung sana, kelihatan sangat hampir di belakang bangunan berhadapan hotel sebuah bukit yang tinggi dan penuh dilitupi salji. Aneh pada pandangan kita orang Malaysia kerana kita mengalami cuaca senada. Agaknya sebab itulah orangnya pun sangat lasak dan cekal hati sesuai dengan perubahan cuaca mendadak.

 2. Saya berpeluang ke beberapa tempat menarik di Qum dan bertemu dengan ulama' dari pelbagai bidang dan latarbelakang. Kota ini sungguh menarik. Ia nampak agak usang dan kurang pembangunan walaupun berada sangat hampir dengan kota Tehran, ibu negeri Iran. Lelaki-lelaki di sini rata-ratanya memakai "abo"(jubah tipis yang dipakai di luar pakaian) dan perempuannya memakai "cadur"(kain besar biasanya yang digunakan untuk menutup hampir keseluruhan badan. Walaupun kota ini nampak agak kuno namun di sini terdapat antara 3 library Islam terbesar di dunia. Hampir separuh manuskrip Islam terdapat di sana. Di sini ada perkara menarik yang saya tidak boleh lupa. Ketika mula melangkah masuk ke dalam library, kelihatan satu replika makam seseorang dan di situ ada beberapa orang kelihatan sedang duduk dan membaca wirid-wirid. Saya diberitahu bahawa itu adalah replika makam pengasas library tersebut. Saya berkira-kira dalam minda. Kenapa replika aje kat sini? mana makamnya? rupa-rupanya pengasas library iaitu najafi telah berwasiat agar ditanam jasadnya nanti di tempat para ilmuwan melangkah masuk ke library. Ha! Maknanya sekarang saya tengah berdiri di atas kubur seorang ulama'. Teringat kepada seorang sahabat yang berjuang untuk menawan kota istanbul. Beliau juga berwasiat agar jasadnya di tanam di tepi kota tersebut untuk menyaksikan seorang raja membuka kota tersebut nanti. Kalau di malaysia, pantang berjalan atas kubur, nanti ada GANGGUAN

3. Pengalaman dengan peniaga
Sepanjang saya berurusan dengan peniaga di Iran, saya dapati mereka agak tidak mesra dengan pelancong asing. Saya kadang-kadang menyampah dan menyuruh mereka senyum dll. Namun tidak kurang juga ramai yang mesra terutama peniaga-peniaga yang pernah ke luar negara. Selepas beberapa pembacaan, rupa-rupanya baru saya tahu, peniaga Iran sangat anti kepada kapitalis barat. Oleh itu, mereka tidak suka menganggap pelanggan seperti raja.

4. Serangan amerika
semasa berada di sana, ada seorang kawan sms dari Malaysia. apabila diberitahu saya berada di Iran, dia sungguh terkejut. Katanya buat apa kat sana? tak takut kena serangan US ke? Ya, saya teringat US sudah beberapa kali mengugut untuk menyerang Iran. Malah sebenarnya serangan memang telah bermula lama. Antaranya melalui serangan media. Pada masa sekarang terdapat 200 channel dalam bahasa Parsi dibuat khusus untuk menentang negara Iran sendiri. Ramai juga anak muda Iran yang terpengaruh. Begitu juga US masih meneruskan serangan dengan menggunakan senjata klasik iaitu dadah. Selepas US menguasai Afghanistan, penyeludupan dadah melalui iran meningkat dengan sngat drastik. Berjuta-juta duit telah dihabiskan untuk membasmi kegiatan penyeludupan dadah di sempadan tetapi tidak berjaya. Bila diselidiki, US merupakan dalang di sebaliknya. Berbalik kepada sekatan ekonomi, sebenarnya kegiatan kewangan di Iran sangat stabil. Mereka tidak terkesan dgn krisis ekonomi di US kerana mengamalkan sepenuhnya sistem kewangan Islam. Sekarang, walaupun di tengah-tengah sekatan ekonomi,  US masih meneruskan dagangan sebanyak +- 3billion dengan Iran. 

5. Makanan Iran
Rupa makanan Iran lebih kurang makanan negara arab yang lain tetapi ia tidak banyak variasi seperti Mlaysia. Orang-orang Iran kurus-kurus dan tidak besar seperti negara arab. Ini kerana walupun lebih kurang sama dengan arab tetapi ia lebih kering. Beras yang digunakan agak berbeza dengan Basmathi. Ia seakan-akan beras herba ponni dan kurang karbohidrat. Biasanya nasi akan dihidang bersama tomato atau jeruk timun atau lada besar. Lauknya pula samaada kebab ayam/daging/campuran keduanya atau ikan trout goreng, ayam bakar atau daging bakar. itulah yang dimakan hari-hari. untuk kudapan pula, mereka makan bua-buahan terutamnya pisang. Sepanjang saya berseminar di banyak tempat di Tehran dan Qum, saya dapati makanan kudapan mereka ialah buah dan muffin.

biasanya seminar/ apa2 aktiviti akan dimulai dgn bacaan quran/qasidah dll. pada tgh2 seminar, bisanya di malaysia kita akan break utk kul 10 dan 4 tapi di sana diaorg tak bhnti.Cuma diaorang akan menghulurkan buah segar, sebilah pisau kecil dan minuman. Patutlah orang dia kurus2. 

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Bekerjalah dengan hati....

Nabi Muhammad SAW telah menegaskan tentang kepentingan hati. Hati ibarat raja segala tindak tanduk, perlakuan dan keputusan. Hati harus sentiasa dihidupkan dengan iman terhadap Allah. Hati yang statik dan beku akan memberi kesan kepada anggota lain terutama kepada organ yang bersifat mentadbir iaitu akal. Tanpa hati yang mantap, akal juga kabur2 untuk membuat penilaian dan membezakan perlakuan hak dan batil. Akhirnya nafsu juga allergic untuk membuat kebaikan dan terdorong untuk mendorong anggota lain melakukan maksiat kerana Allah. Dalam dunia kerjaya, hati akan memberi nur kepada cara bekerja dan suasana di tempat kerja. Apakah kesan hati sakit dalam kerjaya: 1. memandang apa sahaja dengan perasaan negatif. wujudlah golongan yang sentiasa mengeluh dengan bebanan kerja. "Apa ni bos,asyik mengarah kita bekerja aje. dia tak buat apa pun". Sentiasa timbul syak wasangka terhadap rakan sekerja."Eh!Kenapa si mamat ni keluar waktu bekerja, tak patut.suka sangat tuang kerja". Bercakap belakang tapi segan untuk berterus terang." Kau tahu kan, Aminah tu bla bla bla...."dll 2. motivasi kerja kabur. Mungkin niat awal seseorang bekerja ialah kerana wang. Kesannya dia akan buat apa sahaja demi wang. Apabila ada cabaran di tempat kerja, mudah mengalah kerana maksud asal bekerja tidak pernah dikaitkan dengan nama Allah dan membuat kerja-kerja agama. Akibatnya, satu-satu organisasi sukar bertahan dan istiqamah dengan sebarang polisi kerana motivasi dalaman pekerja yang berasal dari hati yang mantap tiada. 3. kedekut untuk memberi rahmat kepada rakan sekerja yang lain. Rahmat adalah milik Allah. Sifat Allah ialah pemberi rahmat. al-Rahman dan al-Rahim. Allah yang maha hebat, rela memberi rahmat kepada ciptaanNya. Siapalah kita di sisi Allah Taala. Apa salahnya sebagai ketua memberi rahmat kepada pekerja bawahan, sebagai rakan sekerja memberi rahmat kepada kawan lain. Saya teringat kepada sepasang suami isteri. Kedua-duanya guru saya. Dr Joni Tamkin dan Dr Zarina dari UM. Mereka berdua adalah manusia yang sangat suka menolong anak murid sehingga saya sendiri kagum dengan sifat mereka. Mereka pernah beritahu saya. Kita ni kena sentiasa bagi rahmat kepada orang selagi terdaya. Insyaallah Allah akan merahmati hidup kita. Oleh itu, wahai sahabat semua, marilah kita membersihkan hati masing-masing. Ini peringatan untuk saya dan semua. 23 April 2012 1.45pm 23

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

BIAS HAKIKAT

Aku merenung ke dalam cermin,
Terlihat seorang AKU,
Wajahnya hitam tiada sirna NUR,
Mata penuh dengan cahaya kerakusan,
Mulut tersengih tersembunyi sejuta kehendak ammarah,
Hidung kempas kempis dahagakan bauan haram.

Realiti jasad AKU mengejutkan roh Aku,
Aku menyoal AKU,
AKU memuhasabah Aku,
Apakah AKU milik Aku...,

Sekian lama...,
Aku bertebaran di muka bumi,
Membina tapak cita-cita QUDUS,
Meneroka keredhaan ILAHI,
Mencari makna seorang HAMBA.

Cuma hari ini..,
Aku berhenti seketika,
Merenung AKU di dalam Aku,
Tiba-tiba,
Limpahan air mata taubat mengalir sejuk,
Membasahi AKU di dalam Aku,
Inilah biasan hakikat seorang AKU di dalam Aku.

Yang hina di sisi Allah,
ASMAK HUSIN
1pm(27 Mac 2012)

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Membina kerukunan rumahtangga

Alhamdulillah..tadi sempat bersiaran di TV9 dalam rancangan Tanyalah Ustazah. Topik hari ini ialah membina kerukunan rumahtangga. Saya bukanlah orang yang layak kerana baru 2 tahun umur jagung tapi sekadar berkongsi ilmu dalam proses pencerahan jiwa.

Isi program tadi ialah:

1. konsep keluarga islam adalah keluarga kecil dan keluarga besar. asas pembentukan- perkahwinan yang halal. Fitrah manusia berpasangan lalu lahir daripadanya anak dan cucu. Allah titipkan perasaan cinta dan kasih sayang sebagai tanda kekuasaanNya. Cinta kudus keluarga ini bukan sahaja berlangsung untuk maksud dunia tetapi juga untuk maksud kekal bersama di akhirat.

2. Keluarga dalam Islam sangat unik sebab mempunyai sistem keluarga besar yang menyokong di antara satu sama lain. buktinya; Islam mempunyai sistem faraidh, tanggungjawab nafkah dan hadhanah yang sistematik


3. Pembentuan keluarga bermula daripada pemilihan jodoh. mekanisme dan kriteria yang dipilih bakal memberi kesan kepada kehidupan seterusnya. mekanisme merujuk kepada cara yang halal. bercinta sebelum kahwin harus berlangsung atas dasar perkenalan dan logik pemilihan, bukan atas maksud melempiaskan cinta+nafsu= aktiviti bilik tidur. Bercinta sebelum kahwin adalah superficial dan cinta nafsu gelora berlangsung selepas kahwin kerana nafsu(ghirah) adalah fitrah tapi harus melalui proses yang halal. Kriteria pula harus mengikut sunnah nabi. Memilih jodoh kerana harta, keturunan, kecantikan dan agama. hak memilih jodoh terletak pada tangan lelaki mahupun perempuan. Perempuan sangat perlu menitikberakan pemilihan kerana mereka bakal berada di bawah naungan suami

4. Peranan suami dan isteri berbeza selaras dengan fitrah kejadiaannya. Fitrah sesorang suami yang mempunyai kekuatan IQ menjadi ketua yang mengemudi perjalalanan dan halatuju keluarga. Seorang isteri pula yang mempunyai kelebihan EQ pula sesuai menjadi suri rumah a.k.a. raja di rumah, melahirkan, mendidik dan mengawal urusan rumahtangga. mengenali perbezaan peranan dan karakter sangat penting untuk kerukunan rumahtangga. Seorang suami harus berusaha menjalankan tanggungjwabnya walaupun dalam keadaan terdesak spt susah, tidak ada pekerjaan dll. Si isteri pula harus juga melaksanakan tugas hakikinya walaupun terpaksa keluar bekerja membantu suami. Fitrah ini harus dikekalkan untuk kelangsungan kekuatan ummah itu sendiri, bukan untuk kepentingan diri-sendiri semata-mata.

5. Suami, anak dan isteri adalah pinjaman. Apanbila sampai masa, kesemuanya harus dipulangkan kepada pemilik hakiki iaitu Allah. Setiap manusia akan menghadapi ujian spt. suami ingin berpoligami. pedih seperti gunung menghempap dada. tapi percayalah....kebahagiaan manusia bukan terletak pada kesempurnaan kehidupan pada kaca mata manusia(mempunyai anak, suami dan nikmat dunia yang sempurna) tetapi ia milik hamba yang berupaya mengahrungi setiap ujian Allah dengan penuh ketenangan. Analoginya bersalin itu sangat menyakitkan tetapi terpaksa juga untuk mengharungi sakit kerana inginkan hasil yang sungguh indah iaitu seorang anak

6. setiap keluarga mempunyai nadi yang hidup. asas nadi terletak pada hati ahli keluarga. makanan hati ialah iman. manakala hati dikaitkan dengan akal untuk merealisasikan iman dalam kehidupan sebenar. makanan akal pula ialah ilmu. justeru iman dan ilmu adalah makanan yang boleh membantu keluarga membezakan realiti haq dan bathil.


Harap perkongsian ini dapat menjadi pedoman untuk saya juga rakan-rakan

yang dhaif di sisi Allah
ASMA' Husin

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

Mafia dalam dunia akademik

Suatu ketika, seorang pakar dalam bidang Islamic finance, Humayun Dar pernah berkata "Achademic world is mafia". Semasa mendengar kata-kata tersebut, saya tidak memahami sepenuhnya. Setelah beberapa ketika menyelami bidang akademik, saya mula mengerti. Rupa-rupanya dunia akademik juga seperti dunia perniagaan. Masing-masing berusaha sedaya upaya untuk menegakkan pucuk masing-masing. Apa saja cara perlu dibuat agar pucuk dapat bernafas dan pucuk kitalah yang paling tinggi.

Anehnya yang terlibat adalah para akademik yang selayaknya menjadi pendokong kepada pembinaan tamadun manusia. Di dalam Islam, mereka adalah cendikiawan yang digelar golongan ulama'.Ulama' tidak hanya fokus kepada cendikiawan di dalam bidang agama sahaja tetapi merangkumi pakar dalam semua bidang. Berkaitan dengan ulama', Rasulullah pernah menyebut di dalam hadis yang berbunyi: ulama' warasatul anbiya'(ulama' adalah pewaris nabi). Layakkah seorang ulama aka cendikiawan aka ahli akademik untuk menjadi pewaris nabi sekiranya niat dan cara yang dilakukan songsang?

Secara umumnya, untuk menjadi pewaris nabi, mengenali Nabi Muhammad SAW sangat penting.Nabi Muhammad SAW diutuskan untuk menyempurnakan akhlaq manusia. Justeru akhlaq nabi adalah umpama al-Quran berjalan. Sifat-sifat asas yang ada pada baginda ialah amanah, sidq, tabligh dan fatanah. Dari sudut ilmu, baginda bertanggungjawab menyampaikan wahyu Allah kepada manusia sekaligus mendidik manusia memahami tujuan penciptaan manusia melalui kata-kata mahupun melalui manifestasi sikap baginda. Baginda bukan sekadar membentuk world-view manusia malah menjadi role-model yang sempurna kepada semua lapisan masyarakat.

Perincian di atas adalah ciri-ciri yang sepatutnya ada pada setiap ahli akademik. Namun begitu, pada hari ini, ahli akademik juga berlumba-lumba mengejar nama dan pangkat melalui cara yang salah. Ketelusan idea di kalangan ahli akademik menjadi menjadi isu besar pada hari ini. Kemalasan dan kelesuan berfikir menyebabkan sindrom menciplak idea semakin menjadi-jadi. Mengaku idea orang lain sebagai idea sendiri, mengarahkan orang bawahan untuk untuk meletakkan nama di dalam penulisan walaupun tiada sumbangan, menterjemah hasil kerja orang lain ke dalam bahasa lain tanpa sedikitpun penghargaan kepada penulis asal, penyelia meletakkan nama sendiri sebagai penulis pertama dalam penerbitan semula tesis ke buku dan lain-lain lagi.

Kesemua perbuatan di atas adalah contoh perilaku mafia yang berlaku dalam dunia akademik. Oleh itu, layakkah ahli akademik yang terlibat mewarisi tugas seorang nabi???

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS